10 kunci Rumah Tangga Bahagia
Selamat tahun baru 2023!!
![]() |
Happy New Year 2023 Salam dari Ratu Lada @ Ratu Nang Ori |
Salam buat follower yang disayangi. Salam hormat, salam bahagia, dan salam penuh keberkatan hendaknya. Apa khabar hari ini? Di harap semuanya okey-okey sahaja ya. Tenang, hidup kena ceria selalu. Oh ya! Untuk siri perkongsian pada hari ini, saya ingin kongsikan mengenai 10 kunci rumah tangga bahagia.
Kunci Rumah Tangga Bahagia
Sepertimana yang kita selalu lihat samaada depan mata kita sendiri atau cerita dari orang lain, pasangan yang mendirikan rumah tangga inginkan rumah tangga yang bahagia, tenang dan juga harmoni sentiasa. Pendek kata nak yang manis manis je tak nak yang masam, kelat, pahit semua tu. Kalau boleh nak tolak tepi semua yang tak sedap di pandang.
Namun untuk kita mendapatkan rumah tangga yang bahagia dan gembira, banyak proses pembelajaran yang perlu kita lalui. Rumah tangga yang bahagia tidak akan berlaku tanpa proses dan pembelajaran daripada pihak suami atau pihak isteri serta ahli keluarga yang lain.
Dalam
hidup berumah tangga pasti sedikit sebanyak timbul masalah dan perselisihan
pendapat sesama pasangan. Biasalah kan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan
pula kita manusia. Memang tak pernah lepas dari masalah. Nak tak nak kita kena
hadapi juga.
10 Kunci Rumah Tangga Bahagia
Untuk dapatkan kunci rumah tangga bahagia, kita perlu tahu apa yang perlu kita buat dan apa yang perlu kita tinggalkan bagi menjamin keharmonian rumah tangga. Tak mudah sebenarnya tapi kenalah cuba. Orang cakap tak cuba tak tahu kan? Dah cuba barulah tahu. Ok, saya kongsikan buat pembaca yang saya sayangi 10 kunci rumah tangga bahagia. Jom kita sama sama cuba.
1. Saling Bertukar Cerita
Yang pertama
sekali saya nak kongsi ialah saling bertukar cerita. Memang betul
dan diperakui oleh pakar dalam bidang ini, budaya bertukar cerita
antara suami isteri dan anak anak boleh menjadi kunci kepada sebuah keluarga
bahagia.
Bagi
mengelak kebosanan yang menyebabkan rasa tidak puas hati jika berlaku
perbalahan suami isteri atau keadaan berantakan anak-anak yang suka bergaduh
sesama adik beradik, apakata ibu bapa mulakan dengan bertukar-tukar cerita
tentang keadaan hari ini, bertanya kepada pasangan atau anak-anak
keadaan mereka, bagaimana mereka melalui hari mereka pada hari ini, bercerita
keadaan semasa dan berkongsi cerita cerita menarik.
Apabila bercerita, kita bukan saja sekadar bercerita tapi boleh merapatkan hubungan sesama kita dan dapat mengeratkan lagi rumah tangga yang bahagia dan gembira.
2. Mengutamakan Perkahwinan
Mengutamakan
perkahwinan juga adalah kunci sebuah rumah tangga yang bahagia.
Sesetengah daripada kita yang berumah tangga apabila sudah mempunyai
anak akan menjadikan anak sebagai keutamaan dan kadangkala mengabaikan pasangan.
Hubungan menjadi sedikit renggang kerana tumpuan lebih kepada anak.
Sebenarnya
tidak bagus jika anda mempunyai sikap begini. Keutamaan pada anak itu
bagus tapi keutamaan pada pasangan juga perlulah seimbang. Sebagai pasangan
yang telah berkahwin kita kena terus mengutamakan ikatan perkahwinan dengan
bersikap terbuka tentang apa saja sesama pasangan.
3. Makan Malam Bersama Keluarga
Kadang
kadang kita terlupa dek kerana sibuk degan urusan harian, waktu makan malam
bersama keluarga terabai. Mungkin waktu itu kita masih di pejabat atau bersama
kawan kawan. Sebenarnya makan malam bersama keluarga juga boleh menjadi
kunci rumah tangga bahagia.
Makan malam sekeluarga adalah sangat
penting, ia boleh menjadi penghubung antara ahli keluarga yang lain.
Amalkan makan malam bersama keluarga sekurang-kurangnya empat kali seminggu. Makan
malam bersama pasangan dan anak anak akan dapat mengeratkan lagi hubungan
kekeluargaan.
4. Menghabiskan Waktu Bersama
![]() |
Semasa musim PKP yang lalu, kami bersama anak-anak melakukan aktiviti masuk ke hutan dan membina tempat masak-masak serta membuat meja makan dari buloh. |
Menghabiskan
masa bersama keluarga adalah kunci kepada rumah tangga bahagia yang
agak sukar dilakukan oleh ramai pasangan. Bermula dari kesuntukan masa,
hingga rasa letih dan penat seharian bekerja membuatkan anda ingin segera
berehat dan terlupa untuk meluangkan waktu bersama pasangan dan anak
anak.
Tetapi walaupun kesuntukan masa cubalah untuk luangkan sedikit masa bersama bersama pasangan dan anak anak sambil bercerita sesuatu sebelum anak anak tidur atau bertukar tukar cerita dengan pasangan sebelum melelapkan mata.
5. Mengutamakan Keluarga
Sebagai ibu bapa adalah penting untuk kita memberi penekanan kepada anak anak, keluarga adalah orang paling penting berbanding rakan rakan. Berkawan tak salah, tapi letakkan keutamaan pada keluarga sebelum rakan rakan. Apabila kita selalu tekankan keutamaan pada keluarga, anak anak akan faham dan akan mengutamakan keluarga dalam setiap tindakan mereka. Inilah kunci kepada kehidupan rumah tangga yang bahagia dan harmoni.
6. Jangan Bertengkar Di Hadapan Anak Anak
Dalam
sesebuah perkahwinan pertengkaran antara pasangan adalah sesuatu yang
tidak boleh dielakkan terutamanya apabila kedua-duanya berada dalam
keadaan marah. Apabila datang marah, pertengkaran akan berlaku.
Untuk mengekalkan rumah tangga yang bahagia dan harmoni, cuba elakkan bergaduh di hadapan anak anak. Jika anak-anak melihat anda bergaduh dan bertengkar, minta maaf dengan segera kepada anak anak dan berjanji perkara tersebut tidak akan berulang lagi di masa akan datang. Sebaiknya elakkanlah bergaduh di hadapan anak anak kerana pergaduhan kita boleh menyebabkan emosi anak anak terganggu.
7. Jangan
Terlalu Kuat Bekerja
Ibu bapa yang mempunyai anak anak sering beranggapan bahawa dengan bekerja keras, mereka akan memperoleh lebih banyak wang untuk menyara dan memberi keselesaan kepada anak anak. Tetapi mereka tidak tahu dengan bekerja secara berterusan dan membiarkan anak-anak akan menyebabkan anak anak berasa bosan dan rasa dipinggirkan kerana tidak mendapat layanan yang sepatutnya daripada ibu bapa.
Sebenarnya, kunci kebahagiaan rumah tangga ialah apabila pasangan dan anak anak rasa dihargai dengan meluangkan masa bersama. Biarpun ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan persekitaran dan keperluan yang baik untuk anak anak dengan bekerja, mereka seharusnya meluangkan masa bersama anak anak agar anak anak merasa berharga di mata ibu bapa mereka.
8.Cuba Jaga Hubungan Antara Anak Anak
Percaya atau tidak persaingan atau pergaduhan antara
adik beradik boleh menyebabkan perpecahan dalam sesebuah keluarga. Sebagai
ibu bapa yang prihatin, kita perlu menjaga hubungan mesra antara anak anak.
Cuba untuk elakkan anak anak dari bergaduh dan tekankan kepada mereka
betapa bertuahnya mereka mempunyai adik beradik jika dibandingkan
orang lain di luar sana yang hidup sebatang kara tanpa ahli keluarga.
Sebagai ibu bapa, tugas kita mengelakkan anak anak bergaduh sesama mereka dan menjaga hubungan baik antara anak anak. Adalah penting untuk kita menjaga keharmonian keluarga bagi menjamin sebuah keluarga bahagia dan gembira.
9. Bersikap Fleksibel
Pasangan
yang berumah tangga perlu ada sikap fleksibel supaya hubungan
mereka tidak tertekan dan membosankan. Begitu juga dalam membina rumah
tangga yang bahagia, anda dan pasangan mestilah fleksibel serta
bertolak ansur kepada semua ahli keluarga supaya lebih mudah untuk mengimbangi
sikap masing-masing dalam mengharungi sebuah rumah tangga yang harmoni.
Inilah yang perlu ada pada pasangan yang berumah tangga bagi menjamin sebuah rumah tangga bahagia.
10. Berkomunikasi Dengan Baik
Yang
terakhir sekali yang perlu anda tahu iaitu kunci sebuah keluarga
bahagia. Kunci sebuah keluarga bahagia tidak dapat dipisahkan dari
komunikasi. Dalam sebuah keluarga bahagia, semua ahli keluarga harus
berkomunikasi dengan baik secara terbuka antara satu sama lain tidak kira tua
atau muda.
Definisi keluarga bahagia yang sebenarnya adalah mereka yang dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Dengan adanya komunikasi yang lebih terbuka antara satu sama lain akan dapat membantu membina rumah tangga yang bahagia. Jadi anda semua harus terbuka dalam berkomunikasi agar dapat membina sebuah keluarga bahagia dan harmoni.
Sekian
Coretan 10 Kunci Rumah Tangga Bahagia Dari Awaeang Kwasin
Terima kasih semua follower yang masih lagi setia membaca coretan saya. Saya berharap agar perkongsian saya kali ini berkenaan 10 kunci rumah tangga bahagia dapat memberi manfaat buat semua pembaca. Sekian dahulu coretan dari saya buat kali ini. Kita berjumpa lagi pada coretan yang akan datang. Salam ceria dari saya. Semoga anda semua dalam keadaan ceria dan tenang sentiasa. Jumpa lagi!
Comments
Post a Comment